+607 218 2020

Home » Media Centre » News » News:EduCity Mula Terima Pelajar Oktober

News:EduCity Mula Terima Pelajar Oktober

Ketua Eksekutif Education@Iskandar Sdn Bhd, Khairil Anwar Ahmad, berkata pembangunan kampus cawangan fakulti perubatan kampus cawangan Newcastle University itu kini sudah 85 peratus disiapkan dan sedia untuk menerima kemasukan pelajar menjelang suku ketiga tahun ini.

Beliau berkata, kemasukan pelajar NUMed itu yang terdiri daripada kumpulan ketiga pengambilan pelajarnya dan dua kumpulan pengambilan pertamanya yang kini sedang melanjutkan pelajaran di kampus induk United Kingdom (UK), yang mana akan menghabiskan baki pengajian mereka di Iskandar Malaysia.

“NUMed memberi tumpuan khusus kepada kursus perubatan sepenuhnya, di samping itu terdapat cadangan untuk meluaskan skop pengajian seperti kursus bioperubatan pada masa depan,” katanya ketika ditemui Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

EduCity@Iskandar, kawasan kampus pelbagai universiti yang dibangunkan Iskandar Investment Bhd (IIB) di kawasan seluas kira-kira 122 hektar di Nusajaya itu bermatlamat menjadi pusat pengetahuan, bukan saja bagi Asia, malah dunia.

Projek itu akan menjadi hos kemudahan bersama dengan satu kombinasi universiti utama terpilih dari seluruh dunia, termasuk institusi pengajian tinggi tempatan.

Khairil Anwar berkata, sebagai persediaan untuk menerima kemasukan kumpulan pertama pelajar di wilayah itu, Education@Iskandar yang juga anak syarikat IIB kini sedang menyiapkan kemudahan untuk pelajar yang merangkumi pembinaan pangsapuri, kompleks sukan dan stadium.

“Semua kemudahan berkenaan dijangka siap menjelang suku pertama 2012, yang mana kemudahan berkenaan dikongsi oleh semua universiti yang akan beroperasi di situ,” katanya.

Beliau berkata, pangsapuri setinggi 12 setengah tingkat yang kini sudah 25 peratus disiapkan itu mampu menempatkan 815 pelajar pada satu-satu masa dengan pilihan untuk menyewa bilik untuk seorang atau berkongsi antara dua hingga empat orang sebilik.

Sementara itu, katanya kompleks sukan terbabit akan dilengkapi sebuah kolam renang bersaiz Olimpik manakala stadium pula mempunyai kapasiti 12,000 penonton dengan fasa pembangunannya kini sudah 15 peratus disiapkan.

“Kemudahan berkenaan bukan saja boleh dikongsi percuma oleh semua universiti di wilayah itu tetapi ia akan turut disewakan kepada umum,” katanya.

Sementara itu, katanya, kampus universiti kedua yang ditubuhkan di EduCity@Iskandar iaitu Institut Maritim Belanda dijadualkan beroperasi pada Jun 2012.

Katanya, universiti yang ditubuhkan dengan kerjasama dua institusi pengajian tinggi maritim terkemuka dari Belanda iaitu Maritime Institute Willem Barentsz (MIWB) dan Maritime Instituts de Ruyter (MIR) itu mula mengambil kumpulan pertama pelajarnya di kampus sementaranya di Plaza Kotaraya, Johor Bahru pada April ini.

“Institut Maritim Belanda akan memberi tumpuan kepada kursus berkaitan maritim seperti pengurusan pelabuhan dan perkapalan,” katanya.

Friday, 21 January 2011
Source: Berita Harian